23 April 2014

Falsafah Hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa

FALSAFAH HIDUP DALAM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Laura anak Seman
Universiti Pendidikan Sultan Idris
lauraseman@ymail.com
Abstrak
Hikayat merupakan karya agung yang dihasilkan melalui penulisan oleh pengarang pada masa sekarang yang diadaptasi melalui penceritaan secara lisan dan tulisan pada zaman dahulu. Hikayat ini merupakan cermin kepada keadaan sesuatu bangsa pada masa dahulu. Hikayat Merong Mahawangsa secara keseluruhannya menceritakan pembukaan beberapa negeri dan turut memperlihatkan kemasukan Islam ke negeri Melayu. Artikel ini membincangkan falsafah hidup yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. secara keseluruhannya, banyak falsafah hidup yang menjadi pegangan watak yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini. Falsafah hidup yang dilihat dalam hikayat ini tidak berkisar tentang manusia sahaja, namun golongan benda hidup yang lain. Falsafah merupakan pemikiran yang tertinggi yang boleh terhasil dalam kehidupan dan menjadi panduan dalam hidup. Oleh hal yang demikian, ia digelar sebagai falsafah hidup. Hikayat ini banyak mengajar tentang pengajaran dalam kehidupan khasnya yang berkaitan dengan falsafah hidup. Biarpun terdapat pelbagai mitos dan khayalan yang ditambah oleh pengarang, namun terdapat banyaknya falsafah hidup yang positif sangat berguna kepada pembaca.

1.0              Definisi dan teori falsafah hidup
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani philosophia, iaitu philo ertinya cinta dan sophia ertinya hikmat (Mohd. Rashid Md Idris, 2012:1). Cinta kepada ilmu dan kebenaran adalah falsafah.  Hal ini bermaksud falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan mendapatkan kebenaran. Tegasnya, ‘berfalsafah’ ialah mencari kebenaran  dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat (Mohd. Rashid Md. Idris et al., 2013: 149). Falsafah menuntun seseorang mencari kebenaran dalam setiap masalah. Ertinya, falsafah secara mudah dapat diinterprestasikan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam.
            Mana Sikana (1996) membahagikan bidang falsafah kepada enam jenis, iaitu ilmu teologi, ilmu etika, ilmu estetika, ilmu mantik, ilmu metafizika dan ilmu kosmologi.
i.                    Ilmu teologi
Istilah teologi berasal daripada perkataan ‘Theos’ (Yunani) yang diertikan sebagai ‘Tuhan’ dan ‘Logos’ yang memberi maksud ‘ilmu’. Jadi, ilmu teologi dapat diinterprestasikan sebagai ilmu tentang Tuhan atau ilmu ketuhanan. Ilmu teologi berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu teologi berfungsi untuk memantapkan kepercayaan-kepercayaan dan keimanan bagi menghilangkan pelbagai keraguan dari sudut Islam.
ii.                  Ilmu etika
Teori tentang tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan  buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal merupakan ilmu etika. Kata etika berasal daripada kata ethos yang bermaksud adat kebiasaan. Etika berbeza dengan pengertian moral. Moral merupakan tindakan manusia yang baik dan wajar, manakala etika pula lebih bersifat teori dan lebih menyelidik, memikir dan mempertimbangkan tentang yang baik dan yang buruk. Jadi, moral ini sebenarnya dibentuk daripada etika yang lahir hasil daripada budaya manusia.
iii.                Ilmu estetika
Ilmu yang membahaskan tentang keindahan dan kesenian disebut sebagai estetika. John Cohn(1869-1967), seorang ahli falsafah Jerman mendefinisikan estetika sebagai teori tentang keindahan dan seni, manakala Maz Dessoir yang hidup pada zaman yang sama juga mengatakan bahawa lapangan estetika jauh lebih luas daripada bidang keindahan. Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan, keindahan yang relatif. Konsep keindahan yang dikenali sebagai al-jamal terdapat dalam Islam.
iv.                Ilmu mantik
Istilah logika diambil dari kata Logos, iaitu bahasa Yunani yang membawa maksud ‘kata atau fikiran’. Jadi, logika didefinisikan sebagai ilmu berkata benar atau ilmu berfikir benar. Tujuan murni hanya akan tercapai jika kebenaran menjadi syarat untuk segala tindakan. Al-Farabi menyatakan bahawa ilmu mantik adalah ilmu yang memberi tenaga fikiran dan kemampuan membezakan sesuatu yang merupakan alat falsafah. Ilmu mantik mempunyai dua cabang iaitu:
a.       Membahaskan fikiran manusia dengan tujuan untuk mengetahui kaedah dan syaratnya bagi mendapatkan fikiran yang betul.
b.      Mencantumkan kaedah-kaedah itu dengan pelbagai fikiran untuk mengetahui dan membezakan fikiran yang betul dan yang salah.
v.                  Ilmu metafizika
Aristotle menyatakan bahawa ilmu metafizika merupakan ilmu agama kerana beliau percaya dengan kewujudan Tuhan, dan itu sebagai tanda alam daripada segala yang wujud. Manakala Al-Kindi pula memandang metafizika itu sebagai falsafah yang membahaskan tentang makluk dan alam abstraknya. Ibn Sina menyatakan tentang argumentasi ontology yang berkisar tentang pemikiran tentang ilmu kejadian dan hakikatnya. Falsafah ini berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu Tuhan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan lain-lain.
vi.                Ilmu kosmologi
Falsafah yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam disebut sebagai kosmologi.  Alam berhubung dengan kejadiannya,
“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan yang memberi manfaat kepada manusia, air hujan yang diturunkan Tuhan dari langit, maka dihidupkan bumi yang sudah mati dan berkeliaranlah pelbagai bangsa binatang dan perkisaran angin dan disuruh bekerja di antara langit dan bumi, sesungguhnya semua itu menjadi bukti kebenaran untuk orang-orang yang berakal.”
(Surah al-Baqarah, ayat 164)
            Menurut Mana Sikana (1996:25), berfalsafah ialah suatu kesenian, yang sekali gus suatu tanda kemanusiaan. Berfalsafah maksudnya berfikir. Jadi, falsafah hidup dapat diertikan sebagai kesatuan nilai-nilai yang menurut manusia pemiliknya paling agung yang jika diwujudkan ia yakin mendapat kebahagiaan. Falsafah hidup ini juga boleh diertikan dalam kata lain sebagai prinsip hidup. Seseorang individu atau masyarakat memiliki falsafah hidupnya yang tersendiri yang dianggap pemikiran tertinggi tentang sesuatu yang dianggapnya benar dan berguna dan menjadi pegangan dalam kehidupan.
2.0              Karya agung
Sesebuah karya yang dihasilkan merupakan sebuah cerminan kepada bangsa di sesuatu tempat. Oleh hal yang demikian, sesebuah karya kerap menjadi rujukan masyarakat luar untuk mengenali sesuatu bangsa. Contohnya, cerita kepahlawanan Hang Tuah kerap menjadi sebutan dan popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Berdasarkan karya ini, masyarakat luar dapat mengenali dengan lebih dalam lagi akan ciri-ciri, gaya hidup dan adat resam orang Melayu. Karya tersebut mungkin ditulis pada suatu masa dahulu hanya sekadar hiburan ataupun menceritakan peristiwa bersejarah yang berlaku, namun pada masa depan karya ini akan menjadi epik dan menjadi sumber yang berguna kepada masyarakat. Jika pada masa akan datang, adat atau kepercayaan tiada lagi diamalkan, masyarakat tidak akan lupa akan kewujudannya kerana telah tercatat dalam karya yang terhasil. Walaupun karya yang dihasilkan tidak sepenuhnya tepat mengenai kisah yang diceritakan, namun karya tersebut dapat memberi gambaran kepada masyarakat luar tentang sesuatu bangsa. Oleh kerana itu, maka karya ini disebut sebagai karya agung, karya yang tetap bertahan dalam tempoh masa yang panjang dan dikaji semula oleh masyarakatnya.
            Menurut Yayasan Karyawan (2000:4), yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Dalam karya agung itu haruslah ada unsur mutu, nilai ketemadunan dan nilai kemanusiaan. Karya agung adalah karya klasik yang telah memberi kesan ke atas sesuatu budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang kekal dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya agung inilah yang menjadi cermin kepada sesuatu bangsa dan memperlihatkan kreativiti dan daya cipta sesuatu masyarakat.
            Mortimer Adler,1961 dalam Penghayatan Karya Agung Melayu (2013:2) menyenaraikan tiga (3) sifat utama sesuatu karya agung:
i.                    Karya yang dapat dikaitkan dengan masalah dan isu masa kini.
ii.                  Karya yang tidak jemu dibaca berulang kali.
iii.                Karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat dan boleh mengisi minda individu sehingga masa kini.
Kesimpulannya dapatlah dirumuskan karya agung (dikenali sebagai the great works dan great books dalam bahasa Inggeris) ialah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, nilai ilmu dan seumpamanya. Dengan kata lain, karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketemadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut.
(Penghayatan Karya Agung Melayu, 2013:2)

3.0              Karya agung Melayu
Menurut Yayasan Karyawan (2000), karya agung melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau yang diungkapkan atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini; dan yang mampu mencetuskan, dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun. Berdasarkan huraian tersebut dapat disimpulkan bahawa Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya susastera bangsa Melayu. Mohd. Rashid Md Idris et al., (2013:3) menyatakan bahawa Karya Agung Melayu beerti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau, dan selainnya yang menghasilkan karya itu. Hal ini bermakna, tiada batasan atau sekatan geografi yang timbul untuk menyekat makna karya agung tersebut. Karya agung yang menjadi sanjungan dan lambang kebijaksanaan sesuatu bangsa umumnya berbentuk tulisan. Dalam aspek tulisan inilah, keindahan bahasa dalam sesebuah karya agung dapat dikenal pasti oleh masyarakat.
4.0              Ciri-ciri karya agung Melayu
Penelitian ciri-ciri Karya Agung Melayu dibuat berdasarkan aspek-aspek berikut:
i)                    Pemikiran dalam Karya Agung
ii)                  Estetika dan Kepengarangan dalam Karya Agung
iii)                Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Karya Agung Melayu
iv)                Nilai Ilmu dalam Karya Agung Melayu
v)                  Falsafah dalam Karya Agung Klasik dan Moden
(Penghayatan Karya Agung Melayu: 4)

5.0              Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.
Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.
Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.
Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa
Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga emas dan bunga perak oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha Inderawangsa menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa gergasi. Perkahwinan inilah yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat diakhiri dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.
Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam dan pengarang banyak memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya, pertalian dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan kedatangan Islam ke Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini membuktikan bahawa hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya (Siti Hawa Salleh).

Jurai keturunan dalam Hikayat Merong Mahawangsa
1.      Raja Merong Mahawangsa
2.      Raja Merong Mahapudisat
3.      Raja Seri Mahawangsa
4.      Raja Seri Maha Inderawarga
5.      Raja Ong Maha Perita Deria( Raja Besiung)
6.      Raja Phra Ong Mahaputisat
7.      Raja  Phra Ong Mahawangsa

6.0              Falsafah Hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa
i.                    Menghormati autoriti
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, dapat dilihat falsafah hidup burung garuda yang tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun burung garuda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan Raja Rum dengan puteri benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.
Maka kata burung garuda kepada burung rajawali: ‘Dimana dapat ia sekalian hendak mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah dahulu, aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar di dalam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikiann itu, tiadalah aku beri jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu’
(halaman 3)
ii.                  Percaya kepada takdir
Falsafah hidup ini dapat kita lihat dalam diri Nabi Allah Sulaiman. Baginda sangat percaya kepada takdir. Hal ini dapat dilihat dalam kepercayaan baginda mengenai jodoh pertemuan yang tidak dapat dipisahkan.
Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai burung garuda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun jodo pertemuan itu didalam batu atau didalam kayu sekalipun tiada yang dapat mencheraikan dia’
(halaman 3)
iii.                Berpegang kepada janji
Sungguhpun, burung garuda memasang niat yang tidak baik dan merancang perpisahan antara raja Rum dan puteri raja benua China, namun dia seorang yang berpegang kepada janji. Burung garuda berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri dan tidak mengganggu kedua-dua anak raja tersebut andainya dia tidak berjaya memisahkan kedua-duanya. Janji burung garuda ini ditepatinya dan dia pergi membawa diri ke laut Kalzum yang jauh daripada manusia.
Maka sembah burung garuda, ‘Ya Nabi Allah, akan pekerjaan itu atas hambamulah mencheraikan dia. Jika tiada dapat hamba mencheraikan anak raja kedua itu nischaya hamba undurlah daripada bawah langit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia sekalian ini.’
(halaman 3-4)
Maka sembah burung garuda, ‘Jikalau ada hidup anak Raja Rum itu serta bertemu dengan anak Raja China yang perempuan tiga berhamba itu, bahwa sesungguhnya tiadalah hambamu ubahkan seperti janji hambamu daripada zaman ini hendak berundur diri daripada segala kaum sifat manusia itu dan dimanakan boleh hambamu mungkirkan janji hambamu dengan Nabi Alla hendak undur dari bawah langit dan atas bumi yang didiami oleh segala manusia, ya Nabi Allah. Beranikah hambamu membuat dusta kepada Nabi Allah?’
(halaman 20-21)
Maka burung garuda itupun berdatang sembah, ‘Ya  Nabi Allah, hambamu pohonkan ampun banyak2 diatas nyawa badan hambamu daripada kesalahan hambamu yang telah lalu itu. ya Nabi Allah, mohonlah hambamu pada tahun, bulan, hari ini, hendak pergi keluar daripada bawah langit dan bumi ini, barang kemana hambamu bawa diri, hambamu diberi izin oleh Nabi Allah diatas hambamu ini.’
(halaman 22)
iv.                Taat kepada pemerintah
Falsafah hidup ini telah sebati dan diamalkan dalam diri rakyat yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Jika dilihat, rakyat jelata menanamkan dalam diri mereka hati yang taat kepada pemerintah walau bagaimanapun pemerintah atau arahan yang diberikan. Ini dapat dilihat dalam pemerintahan Raja Bersiung. Rakyat jelata masih bertahan berada dalam pemerintahan baginda biarpun baginda seorang yang kejam. Bukan sahaja rakyat jelata yang taat kepada pemerintah, malah seorang yang mempunyai kesaktian dan ditakuti raja-raja, iaitu Raja Merong Mahawangsa. Raja Merong Mahawangsa menerima arahan daripada Raja Rum untuk membawa anaknya ke benua China untuk dikahwinkan dengan puteri benua China.
Maka titah Raja Rum kepada Raja Merong Mahawangsa, ‘Hai saudara hamba, hendaklah saudara pergi ke Benua China, ganti hamba membawa pergi paduka anakanda ini, kahwinkan dengan anak Raja Benua China.’ Maka sembah Raha Merong Mahawangsa, ‘Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik kerjakan, tuanku.’
(halaman 5)
Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka sekalian itupun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta memegang senjata masing2 tangan.
(halaman 7)
v.                  Mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan
Hikayat Merong Mahawangsa ini juga memperlihatkan betapa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai akan pekerjaan dan kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa atas segalanya dan manusia atau makluk Tuhan tidak dapat menentukan sesuatu perkara sekalipun. Baginda percaya kepada janji Tuhan dan kekuasaan Tuhan. Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu.
Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2, hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezki, sedikit atau banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala makluk hendak tentukan, sekalian dengan janjinya juga. Kedua, perkara yang memutuskan rezkinya, seperti yang akan datang mara dan maut, hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo pertemuan satu2 makluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang dijadikan Allah Ta’ala, hendak mencheraikannya, melainkan dengan kehendak Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya. Keempat, perkara pencheraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itupun dengan janjinya jua.’
(halaman 22)

vi.                Mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan
Falsafah hidup dalam karya agung ini juga turut memperlihatkan bahawa terdapatnya manusia yang mengambil keputusan berdasarkan tindakan yang difikirkannya. Contohnya, anak tengah Raja Merong Mahapudisat disuruh ayahandanya mencari bumi yang baik untuk membina negeri baru. Baginda bertemu dengan beberapa pulau yang cantik dan sesuai dijadikan penempatan. Oleh hal demikian, baginda mengambil keputusan untuk memilih sebuah pulau sahaja yang terkena dengan anak panahnya itu.
Maka diambilnya sebiji anak panahnya daripada perak yang amat putih, lalu dikenakannya kepada busurnya yang bernama Panah Indera Sakti, katanya, ‘Hai Indera Sakti, jatuhlah engkau kepada bumi pulau tiga empat biji itu. dimana engkau jatuh sekarang, disitulah aku perbuat negeri dan kota parit tempat aku diam.’ Maka ditariknya busurnya itu serta memanahkan ke udara berdengung-dengung bunyinya seperti kumbang menyering bunga lakunya, hilang ghaib. Seketika datanglah jatuh pada suatu tempat pulau; dengan sebab itulah dinamakan Pulau Indera Sakti.
(halaman 38)
vii.              Memelihara hubungan baik sentiasa
Dalam hikayat ini, Raja Seri Mahawangsa berfikir dan berharap akan hubungan baik antara dia dan adik beradiknya akan berkekalan sampai anak cucunya. Dengan demikian, nama baik sahaja yang diingat orang pada masa akan datang, bukannya kejahatan.
‘Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu,’ dengan tilik nazarnya dan fikirnya yang putus didalam hatinya, biarlah jangan lagi tersebut nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini boleh sampai pada anak chuchu jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja2 dan pada khalayak sekalian.’
(halaman 42)
Maka utusan itupun diberinya persalinan, dan hadiah akan paduka kakanda pula dengan beberapa pakaian yang indah2 dan kain yang halus2 serta dipesan pula oleh Raja Seri Mahawangsa dengan titahnya, ‘Hendaklah tuan hamba sekalian sembahkan pada saudara kita, jika ia beroleh anak beri jua khabar ke negeri Kedah ini, demikianlah kita hantarkan. Jikalau kita tiada sekalipun, kita pesan taruh kepada anak chuchu kita biar sampai kepada akhir zaman, nischaya tersebutlah nama kita pada alam dunia ini tanda kita berkasih-kasihan.’
(halaman 43)
Maka titah Raja Benua Siam, ‘Jikalau ada sekiranya datang didalam negeri saudara kita itu sesuatu hal seperti datang ke Benua Siam inilah, jika sakit ia, sakitlah kita, karena pula paduka adinda itu saudara kita, demikianlah pada fikiran kita siang dan malam. Maka kamu sekalianpun hendaklah demikian jua fikirnya, supaya menjadi baik disebut orang nama kita.
(halaman 44)
viii.            Pemenang akan berkuasa
Falsafah hidup ini dapat dilihat dalam diri Raja Kelana Hitam. Baginda berminat untuk menjadi raja negeri Kedah memandangkan sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa negeri tersebut tidak beraja sampailah mereka menemukan anak Raja Bersiung dan menabalkannya menjadi raja. Apabila diceritakan keadaan Kedah yang sudah kembali beraja, Raja Kelana Hitam tidak berpuas hati. Oleh sebab itu, baginda memutuskan untuk mengambil negeri Kedah secara rampasan jika tidak diizinkan menjadi raja.
Demi didengar oleh Raja Kelana Hitam, maka naik marahlah ia, mukanya merah seperti bunga raya, serta titahnya, ‘Main yang mana kamu tewas dan peperangan yang mana kamu sudah alah, tiada patutkah aku menjadi raja didalam negeri Kedah? Jika tiada boleh aku menjadi raja dengan baik, maka kuambil juga dengan senjataku. Maka hendaklah kamu katakan pada penghulu engkau itu, jikalau ia hendak menggalang-galang dan menyekat kami sekalian ini hendak pergi ke negeri Kedah itu, keluarlah ia ke medan peperangan melihatkan pertikaman kami, baik esok atau sekarang ini, itupun yang mana jadi keseukaan kamu.’
(halaman 70)
ix.                Memerintah dengan kasih
Falsafah hidup ini diceritakan oleh menteri Kelahum kepada Raja Phra Ong Mahapudisat supaya baginda berpegang kepada falsafah tersebut dalam pemerintahannya. Dia mengajar dan menasihati Raja Phra agar sentiasa memiliki kasih kepada rakyat jelatanya. Dengan kasih, baginda pasti dapat memerintah dengan bijaksana dan menjadi pemerintah yang disayangi oleh rakyat.
Setelah itu lalu diperjamukan makan minum pula kepada sekaliannya itu serta dengan memalu bunyi-bunyian dan mengajarkan Raja Phra Ong Mahaputisat itu sharat orang menjadi raja: ‘Mahulah baik2, menaruh sabar dan mengasihani diatas segala rakyat bala dan daripada hamba sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah hati dengan memberi derma kurnia sedekah akan fakir miskin dan yang patut dibunuh sehari itupun hendaklah ditaruh sampai tiga empat hari supaya dihalusi baik2 baru dibunuh dan yang mana menjadi raja didalam negeri Kedah bumi tanah itupun jangan duduk setempat buat kota parit tempat yang diam itu dan mahulah ada seorang raja yang memegang negeri mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah orang bumi tanah Kedah ini. Adapun tanah bumi ini baharulah sangat menjadi daratan tempat kita duduk inipun baik tempat bumi tanah yang baik dengan daratan boleh diperbuat seperti kota parit akan tempat segala raja2 hendak dibuat negeri duduk itu.’
(halaman 78)
7.0              Rumusan
Secara keseluruhannya, Hikayat Merong Mahawangsa menampilkan banyak falsafah hidup yang digunakan oleh golongan pemerintah, golongan antagonis mahupun rakyat jelata. Falsafah hidup ini menjadi pegangan dalam diri mereka sehingga tindakan mereka banyak dipengaruhi oleh falsafah hidup yang diciptakan sendiri mahupun diajarkan oleh orang lain. Falsafah hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa sangat berguna dalam kehidupan seharian. Fungsinya dapat membimbing rakyat dan pemimpin dalam mengolah corak kehidupan dan pentadbiran. Falsafah hidup yang meletakkan Tuhan yang paling berkuasa seperti yang dipegang oleh Nabi Allah Sulaiman menunjukkan ketaatan baginda sebagai umat Allah. Falsafah hidup ini menjadi panduan dalam kehidupannya. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa masyarakat dalam Hikayat Merong Mahawangsa memiliki falsafah hidup dalam kehidupan seharian mereka.













Rujukan
Dharmawijaya (1971). Ulasan dan Kajian Hikayat Merong Mahawangsa. Melaka: Penerbit
Abbas Bandong

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mohd. Rashid et.al. (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu (KRB3063). Tanjong Malim:  
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd. Rashid Md. Idris & Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong
Malim: Emeritus Publications.

Siti Hawa Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.

Siti Hawa Salleh (1970). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur:Singapura: University of
Malaya Press.

Yayasan Karyawan (2000). Pengenalan Konsep dan Gagasam Karya Agung Yayasan
Karyawan.Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
           
Vani Vardiansyah (2012). Falsafah Hidup. Diakses pada 18 April 2014 daripada

Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (2014). Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa. Diakses 


No comments:

Post a Comment