23 April 2014

Pemikiran dan Idealisme dalam Hikayat Hang Tuah








Abstrak
Analisis karya agung ini hanya menumpukan kajian terhadap pemikiran dan idealisme yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) semata-mata. Tujuan analisis ini dijalankan kerana pengkaji mahu menganalisis pemikiran dan idealisme yang diketengahkan oleh penulis karya Hikayat Hang Tuah ini. Hal ini demikian kerana, Hikayat Hang Tuah ini merupakan sebuah epik nasional (Ahmad Sarji, 2004).Sebuah karya yang dianggap sebagai epik nasional adalah karya menceritakan wira dan pahlawan sesuatu bangsa. Watak yang diceritakan dalam HHT telah menjadi wira dan lambang kepada keagungan sesebuah masyarakat sehingga menjadi sanjungan dan sumber inspirasi kepada masyarakatnya. Selain itu, watak yang dilukiskan dalam HHT ini begitu unggul sekali dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan ataupun kegagahan. Oleh itu, secara ringkasnya pemikiran dan idealisme yang diketengahkan oleh pengarang dalam HHT ini adalah keperwiraan tokoh Melayu feudal, iaitu Laksamana Hang Tuah.







Sinopsis
Hikayat Hang Tuah (HHT) dimulakan dengan kisah hidup Hang Tuah dan keluarganya yang miskin di Sungai Duyung, Melaka. Hang Tuah adalah seorang laksamana yang setia dan seorang pesilat yang handal. Bapaknya bernama Hang Mahmud dan Ibunya bernama Dang Merdu Wati. Pada suatu hari Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekui menyelamatkan dato' bendahara dari seorang lelaki yang mengamuk. Dato' Bendahara kagum pada mereka dan memperkerjakan mereka di istana. Di istana mereka sangat disayangi oleh Sultan hingga akhirnya Hang Tuah diberi gelaran Laksama oleh Sultan Melaka pada ketika itu.
          Saat menemani Sultan ke Majapahit, Hang Tuah berhasil membunuh Taming Sari. Taming Sari adalah pendekar yang kebal karena kekuatan kerisnya, dan Hang Tuah berhasil merampasnya dari Taming Sari. Keris itu kemudian di anugerahkan kepada Hang Tuah oleh Betara Majapahit. Kemudian Hang Tuah diutus ke Pahang untuk mendapatkan Tun Teja untuk permaisuri Sultan Melaka. Di Pahang Hang Tuah bertemu Melor, gadis yang dicintainya wakti menuntut ilmu di Gunung Ledang. Melor ditawan Tun Ali dan dijadikan gundik Sultan karena hasutan patih Karma Vijaya. Atas muslihat Tun Ali pula Hang Tuah dapat bertemu Melor, dan Sultan menyaksikan hal itu. Hang Tuah dan Melor di hukum mati atas tuduhan berzina.
Namun begitu, Bendahara tidak membunuhnya, malah menyembunyikannya di hutan. Di hutan Hang Tuah menjadi wali Allah. Untuk menggantikan Hang Tuah, Hang Jebat dilntik menjadi laksamana. Tapi Hang Jebat durhaka pada Sultan dan mengambil alih istana kerana menyangka Hang Tuah teraniaya kerana telah dihukum mati. Sultan terpaksa berlindung di rumah Bendahara, Pada waktu itu Sultan menyesal telah membunuh Hang Tuah. Akhirnya Bendahara memberitahu bahwa Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudian dipanggil dan diperintahkan untuk membunuh Hang Jebat. Hang Tuah langsung menuruti perintah Sultan tanpa mengetahui alasan pemberontakan Hang Jebat, padahal sahabatnya itu membelanya. Hang Tuah malah menuruti perintah Sultan yang sudah menghukumnya tanpa alasan. Akhirnya Hang Jebat tewas di tangan Hang Tuah. Hikayat ini diakhiri dengan Melaka ditawan oleh Portugis dan Laksamana Hang Tuah dikatakan tidak meninggalo dunia tetapi beliau dikatakan berada di hulu Sungai Perak sebagai pemerintah kepada binatang-binatang di hutan.

1.0              Definisi Pemikiran dan Idealisme
Dalam sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran dan idealism ke dalam karya. Hal ini demikian kerana, pemikiran dan idealisme merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah (HHT) ini. Pengarang telah mengetengahkan pemikiran dan idealismenya yang tersendiri.
            Istilah pemikiran itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’ (S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab ‘fikrun’ atau ‘aftar’. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S. Othman Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai “ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira ; daya berfikir, akal, ingatan; hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, muslihat”.
            Di samping itu, S.Othman Kelantan (1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya.
            Manakala idealisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:558-559) ialah sifat, iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu, idealisme turut membawa maksud pemikiran atau idea.
            Kesimpulannya, pemikiran dan idealisme membawa makna yang sama iaitu buah fikiran atau idea yang cuba diketengahkan oleh golongan cerdik pandai. Kebanyakkan pemikiran dan idealisme disebarkan melalui buku atau novel.





2.0 Isi dan Perbincangan
Pemikiran dan idealisme yang diketengahkan oleh penulis dalam HHT ini ialah keperwiraan dan kepahlawanan Hang Tuah. Jika kita menganalisis keseluruhan hikayat ini, lebih daripada separuh jalan cerita yang dihasilkan oleh pengarang berkaitan dengan kehebatan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan Melayu ketika zaman feudal dahulu. Memetik kata-kata Parnickel, 1976 (Abdul Rahman Napiah, 1994 :3-4), keistimewaan terletak pada kejayaannya mengungkapkan pelbagai persoalan dan nilai serta budaya orang Melayu pada abad ke-15, dan yang paling menarik ialah gambaran tentang kepahlawanan Hang Tuah. Selain daripada itu juga, Kassim Ahmad turut menyatakan bahawa HHT ini terarah kepada keperwiraan Hang Tuah dalam kajian yang beliau jalankan.
            Berdasarkan kenyataan di atas, rata-rata pengkaji menyatakan bahawa HHT ini berkisar tentang keperwiraan dan kepahlawanan Hang Tuah sebagai perwira Melayu ketika zaman itu. Za’ba turut melahirkan pendapat beliau berkaitan dengan pemikiran dan idealism yang diketengahkan oleh penulis dalam HHT ini. Za’ba berpendapat bahawa HHT merupakan lambing kesateriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah merupakan satu contoh kepada pernyataan itu yang sanggup mengabdikan diri kepada sultan dan negara (Abdul Rahman Napiah, 1994: 4).
            Manakala menurut Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (1993), unsur kepahlawanan mengambil sebahagian besar daripada cerita HHT ini. Kassim Ahmad berpendapat bahawa sifat pahlawan yang terdapat dalam diri Hang Tuah sudah dinyatakan oleh penulis dengan jelas dari Bab I sehingga sehingga Bab XVII.

2.1       Pemikiran & Idealisme dalam HHT
Keperwiraan Hang Tuah
Dalam HHT ini, lebih separuh daripada jalan ceritanya menonjolkan keperwiraan Hang Tuah. Pelbagai cerita telah dilakarkan oleh pengarang untuk menunjukkan bahawa Hang Tuah merupakan perwira Melayu yang unggul pada ketika itu. Perkara ini dibuktikan apabila ayah Hang Tuah telah bermimpi ketika Hang Tuah masih kecil lagi bahawa terdapat cahaya bulan dari langit yang turun ke atas kepala Hang Tuah. Berdasarkan mimpi tersebut, ayahnya beranggapan bahawa Hang Tuah adalah seorang yang bertuah, yang bakal mendukung kedaulatan negeri Melaka ( Noriah Mohamed, 1997).
“Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hnag Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya…”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 23)
Selain itu juga, jika kita membaca HHT ini, kita akan melihat penulis mengambarkan bahawa kebahagiaan atau kemakmuran negeri Melaka itu terletak atau dikaitkan dengan ketokohan yang dimiliki oleh Hang Tuah. Ketika Hang Tuah masih lagi gagah, kedudukan negeri Melaka sangat gemilang dan tinggi di nusantara, tetapi apabila Hang Tuah kehilangan kerisnya, kegemilangan Melaka telah suram dan Melaka juga diserang Portugis. Di sini jika kita selidiki, pengarang cuba menyatakan kepada kita bahawa negeri Melaka itu bergantung sepenuhnya kepada pahlawan Melayu klasik itu, iaitu Hang Tuah.
“Bermula Laksamana pun berdemikianlah juga selama hilang kerisnya itu, gila – gila dengan sakit kepalanya dan tubuhnya demam. Maka ia pun tahulah akan dirinya”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 480)
Di samping itu juga, keperwiraan Hang Tuah telah ditunjukkan oleh pengarang sejak wira ini masih kecil lagi. Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain seperti Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu telah berjaya mengalahkan musuh yang menaiki tiga buah perahu di sebuah pulau ketika mereka berlima belayar. Walaupun pada ketika itu, Hang Tuah baru berusia 10 tahun, beliau telah berjaya mengalahkan musuh yang lebih tua dan besar daripada tokoh epik nasional ini.
“Maka tatkala itu Hang Tuah kelima bersaudara itu pun sudah memegang tiga bilah seligi pada seorang. Apabila hanpir musuh itu ke hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang Tuah, kena pahanya, lalu tiada dapa bangkit lagi”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 26)
            Di samping itu, dalam karya agung epik nasional ini juga, pengarang telah menunjukkan sikap berani Hang Tuah sebagai wira yang celik, apabila dia mengajak sahabatnya yang lain untuk belayar menggunakan perahu lading. Walapun pada ketika itu, beliau hanya berusia 10 tahun. Sikap ingin mengembara beliau ini berterusan sehingga beliau dewasa.
“Maka kata Hang Tuah, ‘Hai saudaraku keempat, kita ini lima bersaudaradapatlah melayarkan sebuah perahu lading supaya kita pergi merantau barang ke kemana mencari makan”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 25)
            Dalam HHT ini juga, pengarang menguatkan lagi keperwiraan Hang Tuah dengan menyatakan bahawa Hang Tuah telah mengalahkan seorang pahlawan dari Majapahit. Selain itu, pengarang turut memaparkan tentang kekuatan dan keberanian Hang Tuah sebagai wira Melayu feudal ketika itu apabila beliau boleh mengalahkan ratusan orang yang mengamuk di Majapahit ketika beliau datang ke situ. Dalam bab XIII, pengarang banyak melakarkan tentang keperwiraan atau semangat seorang wira dan pahlawan yang terdapat dalam diri Hang Tuah.
“Jikalau luka barang seorang juga Melayu ini, negeri Majapahit pun habis aku binasakan; Syahadan Patih Gajah Mada pun kubunuh,” serta ditendangnya bumi tiga kali. Maka bumi pun bergerak. Maka Laksamana pun memekis, katanya, “Cih! Tahanlah bekas tanganku ini baik-baik!” Maka penjurit itu pun sekonyong-konyong pecah lari tiada ketahuan perginya.”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 272)
Di samping peristiwa atau petikan yang ditunjukkan di atas sebentar tadi, terdapat beberapa lagi bukti tentang tentang keperwiraan dalam HHT ini. HHT boleh dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian pertama berkaitan dengan perlawanan yang dihadapi oleh Hang Tuah, manakala bahagian kedua pula berkaitan dengan pengembaraan yang dilakukan oleh Hang Tuah.
            Dalam bahagian pengembaraan ini, pengarang HHT sengaja menonjolkan aspek keperwiraan dan kepahlawanan yang dimiliki oleh wira HHT ini, iaitu Hang Tuah. Pada bagian pengembaraan ini, pengarang menunjukkan ketokohan Hang Tuah sebagai perwira Melayu dengan memaparkan pelbagai peristiwa yang melibatkan Hang Tuah berlawan dengan wira dari negara-negara yang beliau kunjungi. Berikut merupakan petikan atau babak yang mengambarkan Hang Tuah menang berlawan dengan pendekar dari negara-negara lain.


“Maka sembah bendahara dan Sang Nala Guna, “Daulat tuanku, patik mohon ampun dan karunia, patik itu Laksamana berperang dengan pendekar. Pendekar itu mati dibunuh oleh Laksamana. Sekarang patik itu adalah ia sekarang bersembahkan nyawa; mana perintah Syah Alam”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 2997: 405)
                       
Selain itu juga, pengarang turut menunjukkan kejayaan Hang Tuah sebagai utusan diraja Kerajaan Melaka pada ketika itu.
“Maka Laksamana pun berceritalah dengan manis lakunya dan fasih lidahnya bahasa Keling itu. Maka Nala Sang Guna pun suka dan kasih mesra akan Laksamana. Maka kata Nala Sang Guna, “ Hai anakku Laksamana, jikalau anakku tulus ikhlas, sepertimana bapa kepada tuan hamba, jangan lagi lain”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 389)
            Selain itu juga, pengarang HHT turut menunjukkan keperwiraan Hang Tuah dengan melakarkan peristiwa dimana Hang Tuah berjaya mengalahkan pasukan tentera Ferringi ketika Hang Tuah menjadi utusan Benua Keling ke Benua China.
“ Maka ada seorang hulubalangnya terlalu besar panjangnya lagi berani datang    hendak memarang Laksamana. Maka tangannya pun terkangkang. Maka diparang oleh Laksamana penggal dua. Maka segala perahu itu pun alahlah keempat puluhnya, tiga buah juga lari.”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 417)
            Di samping itu, jika kita memperhatikan plot cerita dalam HHT ini, setiap kali Hang Tuah melakukan pelayaran, beliau pastinya akan bertemu dengan musuh di sepanjang pelayaran tersebut. Ironinya, setiap musuh itu yang mula mencabar perwira Melayu ini terlebih dahulu dan Hang Tuah menyahut cabaran tersebut. Apa yang cuba ditonjolkan oleh pengarang adalah musuh-musuh Hang Tuah ini akan kalah dalam perlawanan atau pertarungan mereka bersama dengan Hang Tuah tidak kiralah berapa banyak sekalipun musuh yang Hang Tuah hadapi. Sila baca petikan dibawah dimana musuh Hang Tuah sengaja mencabar beliau, dan Hang Tuah menang dalam pertarungan ini dengan berjaya menawan putera raja dari Negara Berunai (sekarang disebut sebagai Negara Brunei).
“…Adapun yang datng ini Adipati Solok anak Pengiran Berunai. Kami sekalian datang sengaja hendak mengadang Laksamana”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 426)
“…Maka dipanah pula oleh Laksamana, ditujunya kemudi, maka kena, kemudi Adipati Solok itu pun patah. Maka Adipati Solok pun tiadalah terbicarakan lagi”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 426)
Oleh sebab itu, boleh kita simpulkan bahawa pemikiran dan idealisme utama yang diketengahkan oleh pengarang dalam HHT ini adalah keperwiraan pahlawan Melayu feudal, iaitu Hang Tuah. Namun begitu, di samping keperwiraan Hang Tuah sebagai tonggak utama pemikiran dan idealisme yang cuba diketengahkan oleh pengarang, terdapat juga pemikiran dan idealisme yang lain bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Hang Tuah sebagai wira Melayu feudal pada ketika itu. Antara pemikiran dan idealisme yang lain dalah seperti yang disenaraikan di bawah ini.
a)      Kesetiaan kepada Raja
Dalam HHT ini, penulis mengambarkan bahawa masyarakat zaman feudal sangat mendaulatkan raja sehingga rakyat tidak boleh melanggar perintah raja kerana dikhuatiri akan terkena tulah. Dalam HHT ini pelbagai peristiwa dilakarkan pleh penulis untuk menunjukkan bahawa rakyat zaman dahulu mengagungkan kedudukan raja. Jika dianalisis berdasarkan HHT ini, penulis cuba memaparkan perwatakkan Hang Tuah yang setia kepada rajanya. Kesetiaan Hang Tuah kepada raja tidak boleh disangkal oleh sesiapapun yang membaca HHT ini. Dia lambang kesetiaan Melayu, pembesar yang cinta kepada rajanya (Gazali Dunia, 1992). Hang Tuah telah dua kali dibuang raja, dan terakhir sekali beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh raja, namun Hang Tuah masih taat setia kepada Sultan Melaka. Ketika bendahara memberitahu titah raja yang mahu bendahara membunuh Hang Tuah, Hang Tuah tidak cuba membela dirinya tetapi dengan rela hati malah Hang Tuah sendiri yang menyerahkan kerisnya untuk digunakan membunuh dia sendiri.


“Setelah Laksamana menengar kata bendahara demikian itu, maka Laksamana pun mengunus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada bendahara; demikian katanya, Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mahu derhaka kepada tuannya. Segeralah datuk kerjakan titah Yang Maha Mulia itu”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997 : 193)
Penulis dengan jelas memberitahu kepada pembaca bahawa titah raja tidak boleh dibantah dan mesti ikuti walaupun jika kita fikir secara logik tindakan Raja Melaka itu salah kerana baginda tidak membuat usul periksa ketika menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Namun disebalik ini sebenarnya, penulis mahu menunjukkan kepada pembaca bahawa ketika zaman Melayu feudal itu, masyarakatnya sangat setia kepada raja. Manakala watak Hang Tuah itu pula sengaja diciptakan untuk mewakili masyarakat Melayu ketika itu.
“…Si Jebat orang yang tiada teguh setianya! Sungguhlah kamu orang yang hina. Manatah katamu tiada menyesal dan berani mati?”
                                                                                                (Kassim Ahmad, 1997: 357)
Berdasarkan petikan di atas, seseorang individu yang tidak setia dan melanggar perintah raja balasannya adalah hukuman bunuh. Apabila Hang Jebat membuat kekacauan di istana, Hang Tuah telah kembali semula ke Melaka setelah disembunyikan oleh bendahara. Beliau dititahkan untuk membunuh sahabatnya sendiri, dan beliau menurut kehendak raja. Walaupun terpaksa membunuh sahabat karibnya, Hang Tuah tetap sanggup melakukan titah iu kerana kesetiaannya kepada Sultan Melaka.

“…Hang Tuah sebagai wira masyarakat Melayu feudal mempertahankan prinsip itu walaupun terpaksa membunuh sahabatnya sendiri.”

(Gazali Dunia, 1992:76)
            Di samping itu, Hang Tuah juga setia untuk memenuhi kehendak Sultan Melaka seperti meminang isteri untuk sultan, menjadi wakil diplomat negeri Melaka atas arahan sultan dan sebagainya lagi. Selain itu, berdasarkan petikan dibawah kita tahu bahawa Hang Tuah merupakan seorang hamba raja atau laksamana yang sangat setia kepada rajanya.
“Apabila nama tuannya dibawanya ke sebuah negeri orang itu hendaklah dihormatkan sangat-sangat dan dimuliakannya. Jikalau sesuatu peri surat nama tuannya itu, sehingga mati sudahlah; yang aib, insya-Allah Taala, sekali-kali tiada diperoleh dengan mudah”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997:116)

b)      Bijaksana dan Pintar
Dalam HHT ini, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan Melayu yang bijak dan pintar. Selain itu juga, beliau turut digambarkan sebagai seorang individu yang pandai menyesuaikan diri, namun mempunyai tipu muslihatnya. Hang Tuah bijak dalam memperdayakan musuhnya dengan tipu muslihat beliau. Contohnya beliau telah memperdayakan Hang Jebat dengan tipu muslihatnya apabila berjaya mengambil keris Taming Sari yang ada pada Hang Jebat dan berjaya membunuhnya.
“…Hai Si Tuah, demi Allah, bunuhlah aku, kerana tiada berkeris. Maka Laksamana pun undur sedikit seraya katanya sambil ketawa. Hai saudaraku kerana keris ini kerisu dianugerahkan oleh Betara Majapahit; sebab itulah maka aku ambil pula daripadamu.”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997 : 363)
Di samping itu juga, Hang Tuah juga bertindak bijak ketika beliau menjadi utusan Negara Keling ke Benua China. Contohnya ketika beliau mahu melihat rupa Raja China itu, beliau telah menyuap kangkung dengan mengangkat kangkung tersebut ke atas dahi gara-gara beliau mahu melihat rupa Raja China itu.
“Maka Laksamana pun mengambil sayur kangkung disuapnya dengan cikap emas itu lalu diangkatnya ke atas dahinya: maka disuapnya ke mulutnya sambil melihat Raja China itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan permata sembilan bagai rupanya…”
                                                                                                (Kassim Ahmad, 1997: 413)
            Tindakan beliau itu pada mulanya menyebabkan bentara empat puluh orang itu mahu memenggal kepalanya. Hal ini demikian kerana, pada zaman dahulu di negeri China, rakyat atau sesiapa sahaja tidak dibenarkan memandang wajah Raja China kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai biadap. Namun begitu, tindakan Hang Tuah ini telah dipuji oleh Raja China. Malah baginda melarang bentara empat puluh orang itu memenggal kepala Hang Tuah.
“Maka titah raja, “Hai bentaraku, jangan ia engkau penggal. Ialah orang bijaksana yang hendak berbuat kebaktian kepada tuannya; sukar mencari hamba dan hulubalang seperti Laksamana ini”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 413)
            Selain itu juga, Hang Tuah bijak menggunakan tipu muslihatnya apabila berjaya memujuk Tun Teja yang telah ditunangkan dengan Megat Panji Alam untuk dibawa ke Melaka sebagai persembahan kepada raja (Mohd Rashid Md Idris et.al, 2013:65).
“Maka Tun Teja pun bermohonlah kembali ke rumahnya bersimpan segala harta yang kemas-kemas dan segala pakaian yang mulia-mulia. Maka segala hamba sahayanya yang kasihkan dia itu semuanya dibawanya…”
                                                                                                (Kassim Ahmad, 1997:225)   
Di samping itu juga, Hang Tuah bijak memperdayakan orang lain, sepertimana halnya beliau berpura-pura menangis ketika melihat Dang Ratna dan mengatakan bahawa wanita itu menyerupai ibu beliau yang berada di Melaka. Kejadian ini telah menjadi titik tolak kepada Hang Tuah menjadi anak angkat kepada dayang Tun Teja itu, iaitu Dang Ratna.
“…Ya ibuku, ibuku hamba lihat serupa dengan ibu hamba di Melaka. Maka Laksama pun menangis berpura-pura. Maka kata Dang Ratna, “Apatah tuan tangiskan? Lamun tuan sudi beribukan bonda, apatah salahnya, kerana emak pun orang tua, dengan bujang halnya mak ini.” Maka kata Laksamana, “ Daripada hari ini bahawa kuambil ibukulah yang Mak Inang ini”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 195)                                                  
c)      Pengembaraan
Dalam HHT ini, kita boleh melihat bahawa Hang Tuah merupakan seorang pengembara. Pengarang hikayat ini sengaja memasukkan elemen pengembaraan dalam hikayat ini supaya keperwiraan Hang Tuah itu lebih terserlah. Menurut Hamid Hasan (1970), HHT ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama berkaitan dengan perlawanan manakala bahagian dua pula berkaitan dengan pengembaraan. Dalam HHT ini, pengarang menulis cerita tentang pengembaraan Hang Tuah ke Majapahit, Inderapura dan Terengganu untuk menuntut ilmu. Di samping itu, Hang Tuah juga menjadi duta ke negara asing seperti ke Benua Keling, China, Siam, Rom dan Mesir. Selain pengarang mahu menunjukkan keperwiraan wira Melayu ini dalam HHT, beliau juga cuba memberitahu pembaca bahawa seorang wira itu hendaklah melalui banyak pengembaraan untuk mengukuhkan peranannya sebagai wira.
“Maka Laksamana pun berlayarlah dari sana, tiga hari tiga malam, suatu pun tiada dilihatnya melainkan langit dan air juga. Maka kata Laksamana, “Hai muali, belayar ini ada berapa hari lagi lagi maka sampai ke Benua Keling itu?” Maka kata mualim itu, “Hampirlah jajahan Benua Keling; esok hari sampailah kita melihat alamat.” Setelah pagi-pagi hari maka kelihatan jajahan Benua Keling yang kota itu.”  
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 : 385)
Selain petikan di atas, terdapat juga petikan yang lain yang membuktikan pengembaraan Hang Tuah dalam HHT ini.
“Sebermula Laksamana berjalan itu dari Majapahit turun ke Tuban itu, setelah datang ke Tuban, maka segala pegawai yang berserta Laksamana itu pun naiklah masing-masing pada perahunya. Maka Laksamana pun berkata pada Maharaja Setia, “ Hai saudaraku, adapun kita berlayar ini ingat-ingat, jangan bercerai perahu kita, kerana …”

                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997 : 425)
d)     Unsur Mistik
Unsur mistik dalam cerita hikayat memang tidak dapat dipisahkan. Namun dalam HHT ini, unsur mistik sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan lagi tentang kehebatan Hang Tuah sebagai perwira Melayu feudal suatu ketika dahulu. Menurut Abdul Rahman Napiah, pada bahagian akhir cerita, ketika Hang Tuah melalui hari-hari tuanya dengan menyembunyikan diri untuk beribadat, ada tanda-tanda dia memasuki alam mistik (1994: 6).
“…kata orang, Si Tuah tiada mati, kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki dan aulia pada segala laki-laki. Maka sekarang khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan.”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997 : 548)
Selain itu juga, unsur mistik turut dinyatakan oleh pengarang ketika Hang Tuah memujuk Tun Teja untuk mengikutnya ke Negeri Melaka. Hang Tuah telah menggunakan ubat guna-guna untuk membawa Tun Teja ke Negeri Melaka bersamanya.

“Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya”.
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997: 217)
e)      Keunggulan Peribadi Melayu
Ciri-ciri yang dimiliki oleh Hang Tuah yang diketengahkan oleh pengarang dalam karya ini mempunyai nilai keunggulan seorang Melayu. Ciri-ciri yang dimiliki oleh Hang Tuah ini mengukuhkan lagi peranan beliau sebagai wira Melayu feudal ketika itu.
                                    Adat hidup sesama saudara
            Banyak tunjuk dengan ajarnya
            Pertama, hidup selangkah mati sehati
            Kedua,ke laut sama basah ke darat sama kering
            Ketiga, makan tidak menghabiskan, minum tidak mengeringkan …”
            Keempat, berlaba sama mendapat, berhutang sama terjerat
            Kelima, percaya mempercayai, jaga menjaga
                                                                                    (Tenas Effendy, 2005: 176)
Berdasarkan petikan tersebut, sikap keperibadian Melayu yang sentiasa menjaga rasa raga dan hati orang lain (Mohd. Yusoff Hashim, 2008: 79). Di samping itu juga, keunggulan peribadi Melayu turut ditonjolkan ketika Hang Tuah dan Tun Teja memadu kasih. Hang Tuah sangat menghormati Tun Teja sebagai seorang wanita melalui cara beliau melayani Tun Teja.
“…Ya rabbi, ya saiyidi ya maulana, Ya Tuhanku, Engu juga yang mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku. Kepadaku jauhkan apa kiranya daripada citaku kepada perempuan ini”
                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997:221)
f)       Percintaan Wira Melayu
Hang Tuah tidak terlibat dalam percintaan. Unsur pencintaan yang jelas hanya antara dirinya dengan Tun Teja (Mohd. Rashid bin Md.Idris et.al, 2013:67). Namun begitu, percintaan ini bukanlah cinta yang lahir dari hati, tetapi Hang Tuah telah menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan Tun Teja supaya Tun Teja suka kepada nya. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah mahu pulang ke Melaka dan tidak mahu lagi hidup dalam buangan dan kebetulan pula sultan Melaka pada ketika itu sangat suka kepada Tun Teja.
“…Adapun jika demikian, baik aku bersuaka pada Bendahara Seri Buana ini, kerana Duli Yang Dipertuan dahulu sangat berahi akan anak Bendahara seri Buana ini yang bernama Tun Teja Menggala, maka malah keturunan gila Duli Yang Dipertuan akan Tun Teja ini. Jika demikian, baiklah Tun Teja ini kuperdayakan kubawa ke Melaka, kupersembahkan ke Duli Yang Dipertuan supaya aku segera ditegurnya”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997:193)
Berdasarkan teks diatas, tujuan utama Hang Tuah adalah mahu membawa Tun Teja balik ke Melaka supaya Sultan Melaka tidak murka kepada beliau lagi. Berikut pula petikan teks yang menyatakan Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna kepada Tun Teja.
“…maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997:217)
Setelah Hang Tuah membuat ubat pengasih tersebut, beliau telah menyuruh ibu angkatnya untuk memberikan ubat pengasih itu kepada Tun Teja. Di samping itu juga, setelah dipalit dengan ubat pengasih itu, Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang Tuah.
“…Jika aku tiada bertemu dengan Tun Tuah itu, apalah hal aku yang demikian ini? Maka ia menangis terkenangkan mimpi itu; maka makin sangat berahinya tiada tertahani lagi rasanya”
                                                                                    (Kassim Ahmad, 1997:219)
g)      Peperangan
Peperangan ditunjukkan oleh pengarang HHT ini untuk lebih menonjolkan peranan Hang Tuah sebagai seorang wira Melayu tidak kiralah dimana sekalipun beliau berada. Hang Tuah telah terlibat dalam peperangan ketika menjadi utusan dalam pengembaraan yang beliau jalankan. Peperangan yang dihadapi oleh Hang Tuah ketika menjadi utusan Negeri Melaka ke Majapahit. Peristiwa orang Majapahit mengamu boleh dilihat pada mukasurat 116 karya Hikayat Hang Tuah susunan Kassim Ahmad pada tahun 1997.
      Di samping itu, peperangan yang besar dihadapi oleh Hang Tuah ketika beliau menjadi utusan ke Benua China dimana tentera Feringgi telah mengisytiharkan perang ke atas Benua China. Pada masa ini boleh kita katakan bahawa Hang Tuah merupakan watak utama yang menjadi pemangkin kepada kemenangan Benua China. Peristiwa perang ini boleh dibaca pada halaman 416 Hikayat Hang Tuah susunan Kassim Ahmad pada tahun 1997. Berikut merupakan sedikit petikan teks untuk bahagian peperangan ini.
“…Maka ghali itu pun bertemulah dengan Feringgi itu, lalu dibedilnya oleh Feringgi itu. Maka Laksamana pun amarah lalu berdiri membaca pustakanya. Setelah sudah, maka dibedilnya pula. Maka sekali itu tiadalah berbunyi lagi.”
                                                                                          (Kassim Ahmad,1997:4170)
Melalui peristiwa peperangan yang dihadapi oleh Hang Tuah, beliau tidak pernah mengalami kekalahan kepada pihak musuh. Perkara ini menambahkan lagi kesahihan Hang Tuah sebagai perwira dalam Hikayat Hang Tuah ini.











3.0  Kesimpulan
Hikayat Hang Tuah ini merupakan satu epik nasional yang seharusnya kita banggakan kerana hikayat ini merupakan satu-satunya hikayat yang menceritakan tentang kepahlawanan Melayu suatu ketika dahulu. Selain itu, kita juga harus berbangga dengan pemikiran dan idealisme yang dibawa oleh pengarang hikayat ini walaupun pemikiran dan idealisme tersebut bersifat feudal namun sesuatu yang boleh kita banggakan adalah hikayat ini menceritakan tentang keperwiraan pahlawan Melayu agung iaitu Hang Tuah.
            Dalam hikayat yang berbentuk epik ini pengarang telah melukiskan watak hero hikayat ini dengan sifat yang begitu unggul sama ada dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan, mahupun ketangkasan ( Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003: 159). Malah watak Hang Tuah dalam epik ini juga menjadi sanjungan kepada masyarakat Melayu dan beliau dianggap sebagai wira bangsa dan lambang keagungan budaya bangsa yang menjadi inspirasi kepada masyarakat.
            Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah memaparkan pemikiran dan idealisme keperwiraan yang dimiliki oleh seorang pahlawan Melayu yang bernama Hang Tuah suatu ketika dahulu. Walaupun kesahihan cerita berkaitan dengan kewujudan seorang yang bernama Hang Tuah ini sering diragui sehingga kini kerana dikatakan mustahil bagi seorang manusia untuk hidup ratusan tahun seperti Hang Tuah yang digambarkan dalam HHT ini. Hal ini demikian kerana, watak Hang Tuah ada sejak pembukaan Negeri Melaka sehingga kepada kedatangan Portugis.  Namun begitu, apa yang boleh kita banggakan adalah kejayaan pengarang HHT. Hal ini demikian kerana,  beliau telah berjaya menyatakan pemikiran dan idealisme beliau sendiri. Ramai pihak berpendapat bahawa HHT ini dikarang bertujuan untuk menyindir golongan diraja secara halus. Namun satu hal yang kita tidak boleh lupa apabila membaca HHT ini adalah kekuatan dan sifat kepahlawanan yang ada pada watak utama HHT, iaitu Hang Tuah sebagai seorang perwira yang sanggup berjuang demi rajanya dan kesetiaan beliau tiada tolak bandingnya.



4.0 Bibliografi
Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional. Subang, Selangor: Pelanduk
 Publications (M) Sdn.Bhd.

Abdul Rahman Napiah (1994). Tuah – Jebat Dalam Drama Melayu : Satu Kajian
 Intertekstualiti. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gazali Dunia (1992). Sastera Melayu Lama: Prosa dan Puisi. Selangor Darul Ehsan
Percetakan Polygraphic Marketing Sdn.Bhd.

Hashim Awang (1989). Novel Hikayat: Struktur Penceritaan Melayu. Petaling Jaya : Fajar Bakti
 Sdn.Bhd.

Harun Jafar (2004). Ikhtisar Kebudayaan dan Prosa Melayu Klasik. Tanjong Malim, Universiti
 Pendidikan Sultan Idris.

Hamid Hasan (1970). Ulasan dan Kajian : Hikayat Hang Tuah. Selangor Mansion : Pustaka
 Melayu Baru.

Keris Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa Sastera.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
 Pustaka.


Liaw Yock Fang (1991). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik Jilid 1. Indonesia: Penerbit
Erlangga


Majlis Peperiksaan Malaysia (2003). Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur :
 Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Yusoff Hashim (2008). Hang Tuah : Wira Melayu. Taman Mutiara, Melaka: Institut
 Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Mohd Taib Osman dan Abu Hassan Sham (1984). Warisan Prosa Klasik. Kuala Lumpur :
 Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Sharifuddin Hj.Yusop & Mohd Lani Lobi (1999). Kajian Teks Sastera STPM : Sejarah
 dan Kritikan Sastera. Selangor, Malaysia: Longman Malaysia.

S. Othman Kelantan (1997). Pemikiran Satira dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur : Dewan
 Bahasa dan Pustaka.


4.0  Lampiran
Contoh Kulit Depan Hikayat Hang Tuah