Abstrak
Analisis
karya agung ini hanya menumpukan kajian terhadap pemikiran dan idealisme yang
terdapat dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) semata-mata. Tujuan analisis ini
dijalankan kerana pengkaji mahu menganalisis pemikiran dan idealisme yang diketengahkan
oleh penulis karya Hikayat Hang Tuah ini. Hal ini demikian kerana, Hikayat Hang
Tuah ini merupakan sebuah epik nasional (Ahmad Sarji, 2004).Sebuah karya yang
dianggap sebagai epik nasional adalah karya menceritakan wira dan pahlawan
sesuatu bangsa. Watak yang diceritakan dalam HHT telah menjadi wira dan lambang
kepada keagungan sesebuah masyarakat sehingga menjadi sanjungan dan sumber
inspirasi kepada masyarakatnya. Selain itu, watak yang dilukiskan dalam HHT ini
begitu unggul sekali dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan
ataupun kegagahan. Oleh itu, secara ringkasnya pemikiran dan idealisme yang
diketengahkan oleh pengarang dalam HHT ini adalah keperwiraan tokoh Melayu
feudal, iaitu Laksamana Hang Tuah.
Sinopsis
Hikayat
Hang Tuah (HHT) dimulakan dengan kisah hidup Hang Tuah dan keluarganya yang
miskin di Sungai Duyung, Melaka. Hang Tuah adalah seorang laksamana yang setia
dan seorang pesilat yang handal. Bapaknya bernama Hang Mahmud dan Ibunya
bernama Dang Merdu Wati. Pada suatu hari Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi,
Hang Lekir dan Hang Lekui menyelamatkan dato' bendahara dari seorang lelaki
yang mengamuk. Dato' Bendahara kagum pada mereka dan memperkerjakan mereka di
istana. Di istana mereka sangat disayangi oleh Sultan hingga akhirnya Hang Tuah
diberi gelaran Laksama oleh Sultan Melaka pada ketika itu.
Saat menemani Sultan ke Majapahit, Hang Tuah
berhasil membunuh Taming Sari. Taming Sari adalah pendekar yang kebal karena
kekuatan kerisnya, dan Hang Tuah berhasil merampasnya dari Taming Sari. Keris
itu kemudian di anugerahkan kepada Hang Tuah oleh Betara Majapahit. Kemudian
Hang Tuah diutus ke Pahang untuk mendapatkan Tun Teja untuk permaisuri Sultan
Melaka. Di Pahang Hang Tuah bertemu Melor, gadis yang dicintainya wakti
menuntut ilmu di Gunung Ledang. Melor ditawan Tun Ali dan dijadikan gundik Sultan
karena hasutan patih Karma Vijaya. Atas muslihat Tun Ali pula Hang Tuah dapat
bertemu Melor, dan Sultan menyaksikan hal itu. Hang Tuah dan Melor di hukum
mati atas tuduhan berzina.
Namun
begitu, Bendahara tidak membunuhnya, malah menyembunyikannya di hutan. Di hutan
Hang Tuah menjadi wali Allah. Untuk menggantikan Hang Tuah, Hang Jebat dilntik
menjadi laksamana. Tapi Hang Jebat durhaka pada Sultan dan mengambil alih
istana kerana menyangka Hang Tuah teraniaya kerana telah dihukum mati. Sultan
terpaksa berlindung di rumah Bendahara, Pada waktu itu Sultan menyesal telah
membunuh Hang Tuah. Akhirnya Bendahara memberitahu bahwa Hang Tuah masih hidup.
Hang Tuah kemudian dipanggil dan diperintahkan untuk membunuh Hang Jebat. Hang
Tuah langsung menuruti perintah Sultan tanpa mengetahui alasan pemberontakan
Hang Jebat, padahal sahabatnya itu membelanya. Hang Tuah malah menuruti
perintah Sultan yang sudah menghukumnya tanpa alasan. Akhirnya Hang Jebat tewas
di tangan Hang Tuah. Hikayat ini diakhiri dengan Melaka ditawan oleh Portugis
dan Laksamana Hang Tuah dikatakan tidak meninggalo dunia tetapi beliau
dikatakan berada di hulu Sungai Perak sebagai pemerintah kepada
binatang-binatang di hutan.
1.0
Definisi
Pemikiran dan Idealisme
Dalam
sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran dan
idealism ke dalam karya. Hal ini demikian kerana, pemikiran dan idealisme
merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat
Hang Tuah (HHT) ini. Pengarang telah mengetengahkan pemikiran dan idealismenya
yang tersendiri.
Istilah pemikiran itu pada asalnya
terbit daripada kata akar ‘fikir’ (S.
Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab ‘fikrun’ atau ‘aftar’. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S. Othman Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir
dan fikiran itu diertikan sebagai “ingatan, angan-angan, renung, akal;
anggapan, pendapat, sangka, kira ; daya berfikir, akal, ingatan; hasil
pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, muslihat”.
Di samping itu, S.Othman Kelantan
(1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang
muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya
dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan
pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar
lingkungannya.
Manakala idealisme menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2007:558-559) ialah sifat, iaitu sikap atau perbuatan
melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu,
idealisme turut membawa maksud pemikiran atau idea.
Kesimpulannya, pemikiran dan
idealisme membawa makna yang sama iaitu buah fikiran atau idea yang cuba
diketengahkan oleh golongan cerdik pandai. Kebanyakkan pemikiran dan idealisme disebarkan
melalui buku atau novel.
2.0 Isi dan Perbincangan
Pemikiran
dan idealisme yang diketengahkan oleh penulis dalam HHT ini ialah keperwiraan
dan kepahlawanan Hang Tuah. Jika kita menganalisis keseluruhan hikayat ini,
lebih daripada separuh jalan cerita yang dihasilkan oleh pengarang berkaitan
dengan kehebatan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan Melayu ketika zaman feudal
dahulu. Memetik kata-kata Parnickel, 1976 (Abdul Rahman Napiah, 1994 :3-4),
keistimewaan terletak pada kejayaannya mengungkapkan pelbagai persoalan dan
nilai serta budaya orang Melayu pada abad ke-15, dan yang paling menarik ialah
gambaran tentang kepahlawanan Hang Tuah. Selain daripada itu juga, Kassim Ahmad
turut menyatakan bahawa HHT ini terarah kepada keperwiraan Hang Tuah dalam
kajian yang beliau jalankan.
Berdasarkan kenyataan di atas,
rata-rata pengkaji menyatakan bahawa HHT ini berkisar tentang keperwiraan dan kepahlawanan
Hang Tuah sebagai perwira Melayu ketika zaman itu. Za’ba turut melahirkan
pendapat beliau berkaitan dengan pemikiran dan idealism yang diketengahkan oleh
penulis dalam HHT ini. Za’ba berpendapat bahawa HHT merupakan lambing
kesateriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah merupakan satu contoh
kepada pernyataan itu yang sanggup mengabdikan diri kepada sultan dan negara
(Abdul Rahman Napiah, 1994: 4).
Manakala menurut Zalila Sharif dan
Jamilah Haji Ahmad (1993), unsur kepahlawanan mengambil sebahagian besar
daripada cerita HHT ini. Kassim Ahmad berpendapat bahawa sifat pahlawan yang
terdapat dalam diri Hang Tuah sudah dinyatakan oleh penulis dengan jelas dari
Bab I sehingga sehingga Bab XVII.
2.1
Pemikiran & Idealisme dalam HHT
Keperwiraan
Hang Tuah
Dalam
HHT ini, lebih separuh daripada jalan ceritanya menonjolkan keperwiraan Hang
Tuah. Pelbagai cerita telah dilakarkan oleh pengarang untuk menunjukkan bahawa
Hang Tuah merupakan perwira Melayu yang unggul pada ketika itu. Perkara ini dibuktikan
apabila ayah Hang Tuah telah bermimpi ketika Hang Tuah masih kecil lagi bahawa
terdapat cahaya bulan dari langit yang turun ke atas kepala Hang Tuah.
Berdasarkan mimpi tersebut, ayahnya beranggapan bahawa Hang Tuah adalah seorang
yang bertuah, yang bakal mendukung kedaulatan negeri Melaka ( Noriah Mohamed,
1997).
“Maka pada malam
itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas
kepala Hnag Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu
diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya…”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 23)
Selain
itu juga, jika kita membaca HHT ini, kita akan melihat penulis mengambarkan
bahawa kebahagiaan atau kemakmuran negeri Melaka itu terletak atau dikaitkan
dengan ketokohan yang dimiliki oleh Hang Tuah. Ketika Hang Tuah masih lagi
gagah, kedudukan negeri Melaka sangat gemilang dan tinggi di nusantara, tetapi
apabila Hang Tuah kehilangan kerisnya, kegemilangan Melaka telah suram dan
Melaka juga diserang Portugis. Di sini jika kita selidiki, pengarang cuba
menyatakan kepada kita bahawa negeri Melaka itu bergantung sepenuhnya kepada
pahlawan Melayu klasik itu, iaitu Hang Tuah.
“Bermula Laksamana
pun berdemikianlah juga selama hilang kerisnya itu, gila – gila dengan sakit
kepalanya dan tubuhnya demam. Maka ia pun tahulah akan dirinya”.
(Kassim
Ahmad, 1997 : 480)
Di
samping itu juga, keperwiraan Hang Tuah telah ditunjukkan oleh pengarang sejak
wira ini masih kecil lagi. Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain seperti Hang
Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu telah berjaya mengalahkan musuh yang
menaiki tiga buah perahu di sebuah pulau ketika mereka berlima belayar.
Walaupun pada ketika itu, Hang Tuah baru berusia 10 tahun, beliau telah berjaya
mengalahkan musuh yang lebih tua dan besar daripada tokoh epik nasional ini.
“Maka tatkala itu
Hang Tuah kelima bersaudara itu pun sudah memegang tiga bilah seligi pada
seorang. Apabila hanpir musuh itu ke hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang
Tuah, kena pahanya, lalu tiada dapa bangkit lagi”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 26)
Di samping itu, dalam karya agung
epik nasional ini juga, pengarang telah menunjukkan sikap berani Hang Tuah
sebagai wira yang celik, apabila dia mengajak sahabatnya yang lain untuk
belayar menggunakan perahu lading. Walapun pada ketika itu, beliau hanya
berusia 10 tahun. Sikap ingin mengembara beliau ini berterusan sehingga beliau
dewasa.
“Maka kata Hang
Tuah, ‘Hai saudaraku keempat, kita ini lima bersaudaradapatlah melayarkan
sebuah perahu lading supaya kita pergi merantau barang ke kemana mencari
makan”.
(Kassim Ahmad, 1997 : 25)
Dalam HHT ini juga, pengarang
menguatkan lagi keperwiraan Hang Tuah dengan menyatakan bahawa Hang Tuah telah
mengalahkan seorang pahlawan dari Majapahit. Selain itu, pengarang turut
memaparkan tentang kekuatan dan keberanian Hang Tuah sebagai wira Melayu feudal
ketika itu apabila beliau boleh mengalahkan ratusan orang yang mengamuk di
Majapahit ketika beliau datang ke situ. Dalam bab XIII, pengarang banyak
melakarkan tentang keperwiraan atau semangat seorang wira dan pahlawan yang terdapat
dalam diri Hang Tuah.
“Jikalau
luka barang seorang juga Melayu ini, negeri Majapahit pun habis aku binasakan;
Syahadan Patih Gajah Mada pun kubunuh,” serta ditendangnya bumi tiga kali. Maka
bumi pun bergerak. Maka Laksamana pun memekis, katanya, “Cih! Tahanlah bekas
tanganku ini baik-baik!” Maka penjurit itu pun sekonyong-konyong pecah lari
tiada ketahuan perginya.”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 272)
Di
samping peristiwa atau petikan yang ditunjukkan di atas sebentar tadi, terdapat
beberapa lagi bukti tentang tentang keperwiraan dalam HHT ini. HHT boleh
dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian pertama berkaitan dengan perlawanan yang
dihadapi oleh Hang Tuah, manakala bahagian kedua pula berkaitan dengan
pengembaraan yang dilakukan oleh Hang Tuah.
Dalam bahagian pengembaraan ini,
pengarang HHT sengaja menonjolkan aspek keperwiraan dan kepahlawanan yang
dimiliki oleh wira HHT ini, iaitu Hang Tuah. Pada bagian pengembaraan ini,
pengarang menunjukkan ketokohan Hang Tuah sebagai perwira Melayu dengan
memaparkan pelbagai peristiwa yang melibatkan Hang Tuah berlawan dengan wira
dari negara-negara yang beliau kunjungi. Berikut merupakan petikan atau babak
yang mengambarkan Hang Tuah menang berlawan dengan pendekar dari negara-negara
lain.
“Maka
sembah bendahara dan Sang Nala Guna, “Daulat tuanku, patik mohon ampun dan
karunia, patik itu Laksamana berperang dengan pendekar. Pendekar itu mati
dibunuh oleh Laksamana. Sekarang patik itu adalah ia sekarang bersembahkan
nyawa; mana perintah Syah Alam”
(Kassim
Ahmad, 2997: 405)
Selain
itu juga, pengarang turut menunjukkan kejayaan Hang Tuah sebagai utusan diraja
Kerajaan Melaka pada ketika itu.
“Maka
Laksamana pun berceritalah dengan manis lakunya dan fasih lidahnya bahasa
Keling itu. Maka Nala Sang Guna pun suka dan kasih mesra akan Laksamana. Maka
kata Nala Sang Guna, “ Hai anakku Laksamana, jikalau anakku tulus ikhlas,
sepertimana bapa kepada tuan hamba, jangan lagi lain”.
(Kassim
Ahmad, 1997: 389)
Selain itu juga, pengarang HHT turut
menunjukkan keperwiraan Hang Tuah dengan melakarkan peristiwa dimana Hang Tuah
berjaya mengalahkan pasukan tentera Ferringi ketika Hang Tuah menjadi utusan
Benua Keling ke Benua China.
“
Maka ada seorang hulubalangnya terlalu besar panjangnya lagi berani datang hendak memarang Laksamana. Maka tangannya
pun terkangkang. Maka diparang oleh Laksamana penggal dua. Maka segala perahu
itu pun alahlah keempat puluhnya, tiga buah juga lari.”
(Kassim
Ahmad, 1997: 417)
Di samping itu, jika kita
memperhatikan plot cerita dalam HHT ini, setiap kali Hang Tuah melakukan
pelayaran, beliau pastinya akan bertemu dengan musuh di sepanjang pelayaran
tersebut. Ironinya, setiap musuh itu yang mula mencabar perwira Melayu ini
terlebih dahulu dan Hang Tuah menyahut cabaran tersebut. Apa yang cuba
ditonjolkan oleh pengarang adalah musuh-musuh Hang Tuah ini akan kalah dalam
perlawanan atau pertarungan mereka bersama dengan Hang Tuah tidak kiralah
berapa banyak sekalipun musuh yang Hang Tuah hadapi. Sila baca petikan dibawah
dimana musuh Hang Tuah sengaja mencabar beliau, dan Hang Tuah menang dalam
pertarungan ini dengan berjaya menawan putera raja dari Negara Berunai
(sekarang disebut sebagai Negara Brunei).
“…Adapun
yang datng ini Adipati Solok anak Pengiran Berunai. Kami sekalian datang
sengaja hendak mengadang Laksamana”.
(Kassim
Ahmad, 1997: 426)
“…Maka
dipanah pula oleh Laksamana, ditujunya kemudi, maka kena, kemudi Adipati Solok
itu pun patah. Maka Adipati Solok pun tiadalah terbicarakan lagi”
(Kassim
Ahmad, 1997: 426)
Oleh
sebab itu, boleh kita simpulkan bahawa pemikiran dan idealisme utama yang
diketengahkan oleh pengarang dalam HHT ini adalah keperwiraan pahlawan Melayu
feudal, iaitu Hang Tuah. Namun begitu, di samping keperwiraan Hang Tuah sebagai
tonggak utama pemikiran dan idealisme yang cuba diketengahkan oleh pengarang,
terdapat juga pemikiran dan idealisme yang lain bertujuan untuk mengukuhkan
kedudukan Hang Tuah sebagai wira Melayu feudal pada ketika itu. Antara
pemikiran dan idealisme yang lain dalah seperti yang disenaraikan di bawah ini.
a) Kesetiaan
kepada Raja
Dalam
HHT ini, penulis mengambarkan bahawa masyarakat zaman feudal sangat
mendaulatkan raja sehingga rakyat tidak boleh melanggar perintah raja kerana
dikhuatiri akan terkena tulah. Dalam HHT ini pelbagai peristiwa dilakarkan pleh
penulis untuk menunjukkan bahawa rakyat zaman dahulu mengagungkan kedudukan
raja. Jika dianalisis berdasarkan HHT ini, penulis cuba memaparkan perwatakkan
Hang Tuah yang setia kepada rajanya. Kesetiaan Hang Tuah kepada raja tidak
boleh disangkal oleh sesiapapun yang membaca HHT ini. Dia lambang kesetiaan
Melayu, pembesar yang cinta kepada rajanya (Gazali Dunia, 1992). Hang Tuah
telah dua kali dibuang raja, dan terakhir sekali beliau telah dijatuhkan
hukuman bunuh oleh raja, namun Hang Tuah masih taat setia kepada Sultan Melaka.
Ketika bendahara memberitahu titah raja yang mahu bendahara membunuh Hang Tuah,
Hang Tuah tidak cuba membela dirinya tetapi dengan rela hati malah Hang Tuah
sendiri yang menyerahkan kerisnya untuk digunakan membunuh dia sendiri.
“Setelah Laksamana menengar kata
bendahara demikian itu, maka Laksamana pun mengunus kerisnya dari pinggangnya
lalu dipersembahkannya pada bendahara; demikian katanya, Alhamdulillah! Si Tuah
tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mahu derhaka kepada tuannya. Segeralah
datuk kerjakan titah Yang Maha Mulia itu”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 193)
Penulis
dengan jelas memberitahu kepada pembaca bahawa titah raja tidak boleh dibantah
dan mesti ikuti walaupun jika kita fikir secara logik tindakan Raja Melaka itu
salah kerana baginda tidak membuat usul periksa ketika menjatuhkan hukuman
bunuh kepada Hang Tuah. Namun disebalik ini sebenarnya, penulis mahu
menunjukkan kepada pembaca bahawa ketika zaman Melayu feudal itu, masyarakatnya
sangat setia kepada raja. Manakala watak Hang Tuah itu pula sengaja diciptakan
untuk mewakili masyarakat Melayu ketika itu.
“…Si
Jebat orang yang tiada teguh setianya! Sungguhlah kamu orang yang hina. Manatah
katamu tiada menyesal dan berani mati?”
(Kassim Ahmad, 1997: 357)
Berdasarkan
petikan di atas, seseorang individu yang tidak setia dan melanggar perintah
raja balasannya adalah hukuman bunuh. Apabila Hang Jebat membuat kekacauan di
istana, Hang Tuah telah kembali semula ke Melaka setelah disembunyikan oleh
bendahara. Beliau dititahkan untuk membunuh sahabatnya sendiri, dan beliau
menurut kehendak raja. Walaupun terpaksa membunuh sahabat karibnya, Hang Tuah
tetap sanggup melakukan titah iu kerana kesetiaannya kepada Sultan Melaka.
“…Hang Tuah sebagai wira
masyarakat Melayu feudal mempertahankan prinsip itu walaupun terpaksa membunuh
sahabatnya sendiri.”
(Gazali Dunia, 1992:76)
Di samping itu, Hang Tuah juga setia
untuk memenuhi kehendak Sultan Melaka seperti meminang isteri untuk sultan, menjadi
wakil diplomat negeri Melaka atas arahan sultan dan sebagainya lagi. Selain
itu, berdasarkan petikan dibawah kita tahu bahawa Hang Tuah merupakan seorang
hamba raja atau laksamana yang sangat setia kepada rajanya.
“Apabila
nama tuannya dibawanya ke sebuah negeri orang itu hendaklah dihormatkan
sangat-sangat dan dimuliakannya. Jikalau sesuatu peri surat nama tuannya itu,
sehingga mati sudahlah; yang aib, insya-Allah Taala, sekali-kali tiada
diperoleh dengan mudah”
(Kassim
Ahmad, 1997:116)
b) Bijaksana
dan Pintar
Dalam
HHT ini, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan Melayu yang bijak dan
pintar. Selain itu juga, beliau turut digambarkan sebagai seorang individu yang
pandai menyesuaikan diri, namun mempunyai tipu muslihatnya. Hang Tuah bijak
dalam memperdayakan musuhnya dengan tipu muslihat beliau. Contohnya beliau
telah memperdayakan Hang Jebat dengan tipu muslihatnya apabila berjaya
mengambil keris Taming Sari yang ada pada Hang Jebat dan berjaya membunuhnya.
“…Hai Si Tuah, demi
Allah, bunuhlah aku, kerana tiada berkeris. Maka Laksamana pun undur sedikit
seraya katanya sambil ketawa. Hai saudaraku kerana keris ini kerisu
dianugerahkan oleh Betara Majapahit; sebab itulah maka aku ambil pula
daripadamu.”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 363)
Di
samping itu juga, Hang Tuah juga bertindak bijak ketika beliau menjadi utusan
Negara Keling ke Benua China. Contohnya ketika beliau mahu melihat rupa Raja
China itu, beliau telah menyuap kangkung dengan mengangkat kangkung tersebut ke
atas dahi gara-gara beliau mahu melihat rupa Raja China itu.
“Maka
Laksamana pun mengambil sayur kangkung disuapnya dengan cikap emas itu lalu
diangkatnya ke atas dahinya: maka disuapnya ke mulutnya sambil melihat Raja
China itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan permata sembilan bagai
rupanya…”
(Kassim
Ahmad, 1997: 413)
Tindakan beliau itu pada mulanya
menyebabkan bentara empat puluh orang itu mahu memenggal kepalanya. Hal ini
demikian kerana, pada zaman dahulu di negeri China, rakyat atau sesiapa sahaja
tidak dibenarkan memandang wajah Raja China kerana perbuatan itu boleh dianggap
sebagai biadap. Namun begitu, tindakan Hang Tuah ini telah dipuji oleh Raja
China. Malah baginda melarang bentara empat puluh orang itu memenggal kepala
Hang Tuah.
“Maka
titah raja, “Hai bentaraku, jangan ia engkau penggal. Ialah orang bijaksana
yang hendak berbuat kebaktian kepada tuannya; sukar mencari hamba dan
hulubalang seperti Laksamana ini”.
(Kassim
Ahmad, 1997: 413)
Selain itu juga, Hang Tuah bijak
menggunakan tipu muslihatnya apabila berjaya memujuk Tun Teja yang telah
ditunangkan dengan Megat Panji Alam untuk dibawa ke Melaka sebagai persembahan
kepada raja (Mohd Rashid Md Idris et.al, 2013:65).
“Maka
Tun Teja pun bermohonlah kembali ke rumahnya bersimpan segala harta yang
kemas-kemas dan segala pakaian yang mulia-mulia. Maka segala hamba sahayanya
yang kasihkan dia itu semuanya dibawanya…”
(Kassim
Ahmad, 1997:225)
Di
samping itu juga, Hang Tuah bijak memperdayakan orang lain, sepertimana halnya
beliau berpura-pura menangis ketika melihat Dang Ratna dan mengatakan bahawa
wanita itu menyerupai ibu beliau yang berada di Melaka. Kejadian ini telah
menjadi titik tolak kepada Hang Tuah menjadi anak angkat kepada dayang Tun Teja
itu, iaitu Dang Ratna.
“…Ya
ibuku, ibuku hamba lihat serupa dengan ibu hamba di Melaka. Maka Laksama pun
menangis berpura-pura. Maka kata Dang Ratna, “Apatah tuan tangiskan? Lamun tuan
sudi beribukan bonda, apatah salahnya, kerana emak pun orang tua, dengan bujang
halnya mak ini.” Maka kata Laksamana, “ Daripada hari ini bahawa kuambil
ibukulah yang Mak Inang ini”
(Kassim
Ahmad, 1997: 195)
c) Pengembaraan
Dalam
HHT ini, kita boleh melihat bahawa Hang Tuah merupakan seorang pengembara.
Pengarang hikayat ini sengaja memasukkan elemen pengembaraan dalam hikayat ini
supaya keperwiraan Hang Tuah itu lebih terserlah. Menurut Hamid Hasan (1970),
HHT ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama berkaitan
dengan perlawanan manakala bahagian dua pula berkaitan dengan pengembaraan. Dalam
HHT ini, pengarang menulis cerita tentang pengembaraan Hang Tuah ke Majapahit,
Inderapura dan Terengganu untuk menuntut ilmu. Di samping itu, Hang Tuah juga
menjadi duta ke negara asing seperti ke Benua Keling, China, Siam, Rom dan
Mesir. Selain pengarang mahu menunjukkan keperwiraan wira Melayu ini dalam HHT,
beliau juga cuba memberitahu pembaca bahawa seorang wira itu hendaklah melalui
banyak pengembaraan untuk mengukuhkan peranannya sebagai wira.
“Maka
Laksamana pun berlayarlah dari sana, tiga hari tiga malam, suatu pun tiada
dilihatnya melainkan langit dan air juga. Maka kata Laksamana, “Hai muali,
belayar ini ada berapa hari lagi lagi maka sampai ke Benua Keling itu?” Maka
kata mualim itu, “Hampirlah jajahan Benua Keling; esok hari sampailah kita
melihat alamat.” Setelah pagi-pagi hari maka kelihatan jajahan Benua Keling
yang kota itu.”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 385)
Selain
petikan di atas, terdapat juga petikan yang lain yang membuktikan pengembaraan
Hang Tuah dalam HHT ini.
“Sebermula
Laksamana berjalan itu dari Majapahit turun ke Tuban itu, setelah datang ke
Tuban, maka segala pegawai yang berserta Laksamana itu pun naiklah
masing-masing pada perahunya. Maka Laksamana pun berkata pada Maharaja Setia, “
Hai saudaraku, adapun kita berlayar ini ingat-ingat, jangan bercerai perahu
kita, kerana …”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 425)
d) Unsur
Mistik
Unsur
mistik dalam cerita hikayat memang tidak dapat dipisahkan. Namun dalam HHT ini,
unsur mistik sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan lagi tentang kehebatan Hang
Tuah sebagai perwira Melayu feudal suatu ketika dahulu. Menurut Abdul Rahman
Napiah, pada bahagian akhir cerita, ketika Hang Tuah melalui hari-hari tuanya
dengan menyembunyikan diri untuk beribadat, ada tanda-tanda dia memasuki alam
mistik (1994: 6).
“…kata
orang, Si Tuah tiada mati, kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki
dan aulia pada segala laki-laki. Maka sekarang khabarnya Tun Tuah ada di pucuk
hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan.”
(Kassim
Ahmad, 1997 : 548)
Selain
itu juga, unsur mistik turut dinyatakan oleh pengarang ketika Hang Tuah memujuk
Tun Teja untuk mengikutnya ke Negeri Melaka. Hang Tuah telah menggunakan ubat
guna-guna untuk membawa Tun Teja ke Negeri Melaka bersamanya.
“Setelah
Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat
suatu guna pengasih namanya”.
(Kassim
Ahmad, 1997: 217)
e) Keunggulan
Peribadi Melayu
Ciri-ciri
yang dimiliki oleh Hang Tuah yang diketengahkan oleh pengarang dalam karya ini
mempunyai nilai keunggulan seorang Melayu. Ciri-ciri yang dimiliki oleh Hang
Tuah ini mengukuhkan lagi peranan beliau sebagai wira Melayu feudal ketika itu.
“Adat hidup sesama saudara
Banyak
tunjuk dengan ajarnya
Pertama,
hidup selangkah mati sehati
Kedua,ke
laut sama basah ke darat sama kering
Ketiga,
makan tidak menghabiskan, minum tidak mengeringkan …”
Keempat,
berlaba sama mendapat, berhutang sama terjerat
Kelima,
percaya mempercayai, jaga menjaga
(Tenas
Effendy, 2005: 176)
Berdasarkan
petikan tersebut, sikap keperibadian Melayu yang sentiasa menjaga rasa raga dan
hati orang lain (Mohd. Yusoff Hashim, 2008: 79). Di samping itu juga,
keunggulan peribadi Melayu turut ditonjolkan ketika Hang Tuah dan Tun Teja memadu
kasih. Hang Tuah sangat menghormati Tun Teja sebagai seorang wanita melalui
cara beliau melayani Tun Teja.
“…Ya rabbi, ya saiyidi ya maulana,
Ya Tuhanku, Engu juga yang mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini
ibuku. Kepadaku jauhkan apa kiranya daripada citaku kepada perempuan ini”
(Kassim
Ahmad, 1997:221)
f) Percintaan
Wira Melayu
Hang
Tuah tidak terlibat dalam percintaan. Unsur pencintaan yang jelas hanya antara
dirinya dengan Tun Teja (Mohd. Rashid bin Md.Idris et.al, 2013:67). Namun
begitu, percintaan ini bukanlah cinta yang lahir dari hati, tetapi Hang Tuah
telah menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan Tun Teja supaya Tun Teja
suka kepada nya. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah mahu pulang ke Melaka dan
tidak mahu lagi hidup dalam buangan dan kebetulan pula sultan Melaka pada
ketika itu sangat suka kepada Tun Teja.
“…Adapun
jika demikian, baik aku bersuaka pada Bendahara Seri Buana ini, kerana Duli
Yang Dipertuan dahulu sangat berahi akan anak Bendahara seri Buana ini yang
bernama Tun Teja Menggala, maka malah keturunan gila Duli Yang Dipertuan akan
Tun Teja ini. Jika demikian, baiklah Tun Teja ini kuperdayakan kubawa ke
Melaka, kupersembahkan ke Duli Yang Dipertuan supaya aku segera ditegurnya”
(Kassim
Ahmad, 1997:193)
Berdasarkan
teks diatas, tujuan utama Hang Tuah adalah mahu membawa Tun Teja balik ke
Melaka supaya Sultan Melaka tidak murka kepada beliau lagi. Berikut pula
petikan teks yang menyatakan Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna kepada Tun
Teja.
“…maka
Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya.
Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga
membaca pustakanya datang siang.”
(Kassim
Ahmad, 1997:217)
Setelah
Hang Tuah membuat ubat pengasih tersebut, beliau telah menyuruh ibu angkatnya
untuk memberikan ubat pengasih itu kepada Tun Teja. Di samping itu juga,
setelah dipalit dengan ubat pengasih itu, Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang
Tuah.
“…Jika
aku tiada bertemu dengan Tun Tuah itu, apalah hal aku yang demikian ini? Maka
ia menangis terkenangkan mimpi itu; maka makin sangat berahinya tiada tertahani
lagi rasanya”
(Kassim
Ahmad, 1997:219)
g) Peperangan
Peperangan
ditunjukkan oleh pengarang HHT ini untuk lebih menonjolkan peranan Hang Tuah
sebagai seorang wira Melayu tidak kiralah dimana sekalipun beliau berada. Hang
Tuah telah terlibat dalam peperangan ketika menjadi utusan dalam pengembaraan
yang beliau jalankan. Peperangan yang dihadapi oleh Hang Tuah ketika menjadi
utusan Negeri Melaka ke Majapahit. Peristiwa orang Majapahit mengamu boleh
dilihat pada mukasurat 116 karya Hikayat Hang Tuah susunan Kassim Ahmad pada
tahun 1997.
Di samping itu, peperangan yang besar
dihadapi oleh Hang Tuah ketika beliau menjadi utusan ke Benua China dimana
tentera Feringgi telah mengisytiharkan perang ke atas Benua China. Pada masa
ini boleh kita katakan bahawa Hang Tuah merupakan watak utama yang menjadi
pemangkin kepada kemenangan Benua China. Peristiwa perang ini boleh dibaca pada
halaman 416 Hikayat Hang Tuah susunan Kassim Ahmad pada tahun 1997. Berikut
merupakan sedikit petikan teks untuk bahagian peperangan ini.
“…Maka
ghali itu pun bertemulah dengan Feringgi itu, lalu dibedilnya oleh Feringgi
itu. Maka Laksamana pun amarah lalu berdiri membaca pustakanya. Setelah sudah,
maka dibedilnya pula. Maka sekali itu tiadalah berbunyi lagi.”
(Kassim
Ahmad,1997:4170)
Melalui
peristiwa peperangan yang dihadapi oleh Hang Tuah, beliau tidak pernah
mengalami kekalahan kepada pihak musuh. Perkara ini menambahkan lagi kesahihan
Hang Tuah sebagai perwira dalam Hikayat Hang Tuah ini.
3.0 Kesimpulan
Hikayat
Hang Tuah ini merupakan satu epik nasional yang seharusnya kita banggakan
kerana hikayat ini merupakan satu-satunya hikayat yang menceritakan tentang
kepahlawanan Melayu suatu ketika dahulu. Selain itu, kita juga harus berbangga
dengan pemikiran dan idealisme yang dibawa oleh pengarang hikayat ini walaupun
pemikiran dan idealisme tersebut bersifat feudal namun sesuatu yang boleh kita
banggakan adalah hikayat ini menceritakan tentang keperwiraan pahlawan Melayu
agung iaitu Hang Tuah.
Dalam hikayat yang berbentuk epik
ini pengarang telah melukiskan watak hero hikayat ini dengan sifat yang begitu
unggul sama ada dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan,
mahupun ketangkasan ( Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003: 159). Malah watak Hang
Tuah dalam epik ini juga menjadi sanjungan kepada masyarakat Melayu dan beliau
dianggap sebagai wira bangsa dan lambang keagungan budaya bangsa yang menjadi
inspirasi kepada masyarakat.
Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah
memaparkan pemikiran dan idealisme keperwiraan yang dimiliki oleh seorang
pahlawan Melayu yang bernama Hang Tuah suatu ketika dahulu. Walaupun kesahihan
cerita berkaitan dengan kewujudan seorang yang bernama Hang Tuah ini sering
diragui sehingga kini kerana dikatakan mustahil bagi seorang manusia untuk
hidup ratusan tahun seperti Hang Tuah yang digambarkan dalam HHT ini. Hal ini
demikian kerana, watak Hang Tuah ada sejak pembukaan Negeri Melaka sehingga
kepada kedatangan Portugis. Namun
begitu, apa yang boleh kita banggakan adalah kejayaan pengarang HHT. Hal ini
demikian kerana, beliau telah berjaya
menyatakan pemikiran dan idealisme beliau sendiri. Ramai pihak berpendapat
bahawa HHT ini dikarang bertujuan untuk menyindir golongan diraja secara halus.
Namun satu hal yang kita tidak boleh lupa apabila membaca HHT ini adalah
kekuatan dan sifat kepahlawanan yang ada pada watak utama HHT, iaitu Hang Tuah
sebagai seorang perwira yang sanggup berjuang demi rajanya dan kesetiaan beliau
tiada tolak bandingnya.
4.0
Bibliografi
Ahmad
Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik
Nasional. Subang, Selangor: Pelanduk
Publications (M) Sdn.Bhd.
Abdul
Rahman Napiah (1994). Tuah – Jebat Dalam
Drama Melayu : Satu Kajian
Intertekstualiti. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gazali
Dunia (1992). Sastera Melayu Lama: Prosa
dan Puisi. Selangor Darul Ehsan
Percetakan Polygraphic Marketing
Sdn.Bhd.
Hashim
Awang (1989). Novel Hikayat: Struktur
Penceritaan Melayu. Petaling Jaya : Fajar Bakti
Sdn.Bhd.
Harun
Jafar (2004). Ikhtisar Kebudayaan dan
Prosa Melayu Klasik. Tanjong Malim, Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Hamid
Hasan (1970). Ulasan dan Kajian : Hikayat
Hang Tuah. Selangor Mansion : Pustaka
Melayu Baru.
Keris
Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa
Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan
Pustaka.
Liaw
Yock Fang (1991). Sejarah Kesusasteraan
Melayu Klasik Jilid 1. Indonesia: Penerbit
Erlangga
Majlis
Peperiksaan Malaysia (2003). Mutiara
Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd.
Yusoff Hashim (2008). Hang Tuah : Wira
Melayu. Taman Mutiara, Melaka: Institut
Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Mohd
Taib Osman dan Abu Hassan Sham (1984). Warisan
Prosa Klasik. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd.
Sharifuddin Hj.Yusop & Mohd Lani Lobi (1999). Kajian Teks Sastera STPM : Sejarah
dan Kritikan Sastera. Selangor,
Malaysia: Longman Malaysia.
S.
Othman Kelantan (1997). Pemikiran Satira
dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
4.0 Lampiran
Contoh
Kulit Depan Hikayat Hang Tuah