19 April 2014

Analisis Karya Agung


1.Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa digolongkan sebagai sastera lama yang bercorak sejarah. Hal ini kerana hikayat ini merupakan salasilah kewujudan negeri Kedah Darul Aman. Hikayat ini menceritakan sejarah negeri Kedah semenjak negeri ini diterajui dan dinamakan oleh Raja Merong Mahawangsa hingga ke zaman pemerintahan Sultan Ahmad Taju'l-din Halim Shah, iaitu raja yang ke-21. Hikayat ini juga menceitakan kedatangan Islam ke negeri Kedah dalam masa pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa.

Hikayat ini juga turut menceritakan kejadian serangan burung garuda kepada kapal pelayaran Merong Mahawangsa bersama-sama dengan Raja Rom yang ingin berlayar ke benua China. Burung garuda tersebut bertemu dengan Nabi Allah Sulaiman sebelum memulakan serangan ke atas Raja Rom. Burung tersebut berniat ingin menceraikan atau memisahkan takdir perhubungan antara Raja Rom dengan puteri raja benua China. Jika dilihat daripada penceritaan tentang kekuasaan burung garuda ini, kelihatannya seperti cerita tersebut bersifat khayalan kerana melebih-lebih dalam penceritaannya. Cerita ini hanyalah daya penarik untuk menarik perhatian para pembaca. Di samping itu, terdapat juga kisah Raja Bersiung yang gemar minum darah dan hati manusia, kelahiran Raja Buluh Betung dan Puteri Seluang, pengembaraan Sheikh Abdullah dengan penghulu setan dan cerita-cerita lain. Sebagai sebuah sastera lama, kehadiran cerita-cerita bersifat mitos dan khayalan ini tidaklah menghairankan.

Hikayat ini juga memperlihatkan keistimewaan Merong Mahawangsa dan keturunannya. Merong Mahawangsa memiliki darjat yang tinggi dan hal ini dapat dilihat dengan sifat-sifat ajaib yang dimilikinya. Raja Bersiung juga dilihat sebagai raja yang kejam melalui tabiat yang berbeza dengan orang lain, iaitu minum darah dan makan hati manusia. Kezaliman raja akhirnya mengakibatkan pemberontakan oleh keempat-empat menteri serta rakyat jelata.

Dari sudut sejarah, kisah pengembaraan Sheikh Abdullah bersama dengan penghulu iblis mungkin tidak perlu dan tidak sesuai memandangkan perkara seperti ini tidak berguna. Kita dapat melihat dengan jelas tujuan pengarang sengaja memanjangkan kisah berkaitan dengan pengembaraan tersebut bagi memberi kesedaran dan peringatatan kepada pembaca akan godaan iblis dan setan ke atas manusia.

Hikayat ini menceritakan dengan jelas sejarah terbitnya kerajaan atau negeri pada masa itu, iaitu Patani, Siam dan Perak. Merong Mahawangsa mempunyai empat orang cucu, iaitu anak kepada Raja Seri Mahawangsa. Keempat-empat daripada mereka ini diarahkan untuk mendirikan kerajaan sendiri di negeri-negeri tersebut. Anak bongsu Raja Seri Mahawangsa meneruskan legasi pemerintahan negeri Kedah. Di samping itu, kita melihat hubungan persahabatan yang terjalin antara keempat-empat negeri ini dengan penghantaran pokok emas dan perak dan banyak lagi barangan pertukaran.

Hikaya ini banyak mengandung unsur-unsur serta pengaruh bahasa-bahasa asing seperti bahasa Sangsekerta dan Arab serta sedikit unsur bahasa Acheh, Jawa dan Siam. Pengaruh loghat Kedah sangat jelas dinyatakan dalam hikayat ini. Gaya bahasanya agak "sophisticated", kerana kebanyakan unsur-unsur kolokial telah diubah mengikut pemakaian bahasa persuratan zamannya.

sumber: 
Siti Hawa Salleh (1970). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur:Singapura: University of Malaya Press.
Dharmawijaya (1971). Ulasan dan Kajian Hikayat Merong Mahawangsa. Melaka: Penerbit Abbas Bandong.


No comments:

Post a Comment