17 April 2014

5 Contoh Karya Agung




1. Hikayat Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah(HHT) merupakan sebuah karya agung yang berbentuk epik nasional dengan mengetengahkan pemikiran keperwiraan didalamnya.  HHT menceritakan tentang seorang tokoh pahlawan Melayu feudal yang bernama Hang Tuah yang menjadi laksamana Melaka ketika zaman kegemilangan empayar Melaka pada zaman dahulu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang hebat dalam ilmu kepahlawanan. Hang Tuah juga  menjadi lambang keagungan budaya bangsa sehingga menjadi sanjungan dan sumber inspirasi masyarakat khalayaknya.
            Watak Hang Tuah dengan sifat yang begitu unggul sama ada dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan, mahupun ketangkasan beliau. Selain itu juga watak Hang Tuah dalam HHT ini dikatakan tidak mati. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan yang ditulis oleh pengarang HHT dalam bab terakhir HHT.



2. Sulalat al-salatin @ Sejarah Melayu 
Karya Sulalat al-salatin atau Sejarah Melayu ini ditulis pada tahun 1612 di Johor. Karya ini amat dikagumi kerana kandungan, bahasa dan seni persembahannya (Muhamad Haji Salleh, 1997:xi). Sejarah Melayu telah ditulis dalam pelbagai versi. Sejarah Melayu ini ditulis atas titah raja. Karya ini mungkin ditulis di Johor setelah Kesultanan Melaka berpindah dri Bentan, yang juga diserang Portugis setelah kejatuhan Melaka (Muhamad Haji Salleh, 1997:xviii). Sejarah Melayu ini dikatakan menceritakan tentang sejarah kerajaan negeri Melaka.
            Menurut D. Kathiresan(1993:74) terdapat tujuh tujuan penghasilan Sulalatus Salatin ini, iaitu catatan salasilah raja-raja Melayu, menonjolkan kebesaran/ martabat golongan diraja, menonjolkan kelebihan-kelebihan raja Melaka, menonjolkan kelebihan bangsa Melayu Melaka berbanding bangsa atau rumpun Melayu yang lain, menjelaskan asal usul dan latar belakang sejarah pembukaan negeri atau kerajaan Melaka, dan yang terakhir adalah memaparkan nilai budaya dan adat istiadat yang berkaitan dengan raja/istana.
            Keseluruhan Sulalatus Salatin berpusat pada keagungan raja-raja Melayu Melaka dan golongan yang berkaitan dengan istana (D.Kathiresan, 1993:95).




3. Bustan al-salatin/


Bustan al-salatin merupakan karya yang ditulis oleh seorang ulama yang bernama Nuruddin al-Raniri di Acheh. Karya ini berkemungkinan ditulis antara tahun 1637 sehingga 1641 Masihi. Penulis karya ini berasal dari Ranir, India dan menetap di Acheh setelah mendapat naungan Sultan Iskandar Thani (Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003).
            Karya ini mempunyai tujuh bab. Setiap bab itu mempunyai pecahannya yang tersendiri yang dipanggil sebagai fasal. 




4. Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma
 



Kesusasteraan panji berasal dari Kepulauan jawa dan dicipta semasa keagungan empayar Majapahit (Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003:141). Pemikiran utama yang didukung oleh Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma ini adalah percintaan. Pokok utama cerita panji ialah Panji yang berkelana mencari kekasihnya atau pasangannya yag sering kali bernama Candera Kirana, Puteri Daha tetapi hilang atau menyamarkan diri dan menjelma sebagai orang lain (Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003:141).




5. Undang-Undang Laut Melaka
Kesusasteraan jenis undang-undang merupakan karya yang memaparkan peraturan sesebuah kelompok masyarakat. Dalam kebanyakan karya, undang-undang yang digariskan itu mempunyai campur aduk antara hukum adat tempatan, Hindu-Buddha dan Islam (Majlis Peperiksaan Malaysia, 1997:178). Undang-undang Laut Melaka ialah undang-undang pelayaran yang digunakan pada zaman kekuasaan empayar Melaka. Undang-undang Laut Melaka ini menjelaskan peranan pegawai kapal seperti nakhoda, jurumudi, jurubatu dan awak-awak (Majlis Peperiksaan Malaysia, 1997:179). Undang-undang Melaka ini mempunyai 24 fasal yang meliputi soal-soal kekuasaan, perniagaan dan keselamatan di laut.
 


 


No comments:

Post a Comment